Gambar Rumah Baru Pak Lah RM 12 Juta?

Sabtu, 20 November 2010








......

Memali berdarah angkara Mahathir dan Musa ??

Nama Dr Mahathir Mohamed diingat lagi setelah 25 tahun berlalunya peristiwa berdarah Memali, Baling Kedah.

Dr Mahathir ketika itu merupakan Perdana Menteri Malaysia dan Musa Hitam adalah Menteri Dalam Negeri.

Memali tidak jauh dari kampung saya Keroh Perak. Saya pernah beberapa kali ke situ menaiki motosikal yang mengambil masa tidak lebih dari empat puluh minit.

Malah sesudah beberapa jam polis dan kereta perisai menjalankan operasi mereka di kawasan Madrasah berkenaan, saya dan beberapa orang wartawan media perdana sampai ke tempat kejadian selepas berjaya melepasi sekatan-sekatan jalanraya.

Saya masih ingat lagi Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya yang pernah datang ke Dewan Orang Ramai di Pekan Keroh untuk menyampaikan ceramah. Saya dan kawan-kawan mengambil kesempatan mendengar ceramah politiknya yang dikira berapi.
Peristiwa tahun 1985 itu melakarkan sejarah apabila Ustaz Ibrahim Mahmud dan tiga belas pengikutnya terbunuh ketika berdepan dengan lebih beribu anggota Polis.

"Operasi Hapus" seperti yang dinamakan Polis turut melibatkan ayah kepada rakan sekelas saya. Beliau merupakan diantara orang terpenting dalam menerima dan melaksanakan 'arahan orang atasan'.
Menurut Naib Presiden PAS Dato' Hj Mahfuz Omar pada The Malaysian Insider, "kehilangan jiwa bukanlah disebabkan mereka itu pengganas atau mengangkat senjata menentang kerajaan tetapi penduduk Mukim Siong itu dijadikan “kambing hitam” oleh kerajaan pusat demi menutup beberapa kelemahan Umno dan Barisan Nasional"

“Perkembangan Islam di Memali dianggap ancaman pada Umno ketika itu" tegas Mahfuz lagi.

Saya tidak bercadang mengulas isu ini dari pengalaman saya. Biarlah perhimpunan tiga hari itu mengkisahkan detik hitam atau sebaliknya untuk dijadikan tatapan dan iktibar generasi baru.

Pada hermat saya, sejarah semalam pasti kelabu dengan dapatan hari ini dan hari-hari mendatang jika muwarikhnya bermuslihat.

Cuma saya nak tanya Dr Mahathir dan Musa Hitam. Rata-rata mereka menuding jari bahawa lukanya masih berdarah dan Memali masih menangis dek angkara 'kerajaan dua M' itu.

Apakah ianya benar ?

Tidakkah ada rasa bersalah atau penyesalan pada diri masing-masing - mahu memohon maaf kepada keluarga mangsa, penduduk di situ, parti yang terlibat dan seluruh rakyat Malaysia ?

......

Minta Tolong Cari Orang Hilang

Peluk ibu sebelum 'ghaib'

MASJID TANAH: “Pada malam sebelum Nur Bazilah menghilangkan diri, dia tidur dengan saya di tingkat atas sambil memeluk saya dengan erat dan menyelimutkan badan tanpa menunjukkan tanda hendak meninggalkan kami sekeluarga,” kata ibu, Karimah Mahmood, 53, mengenai kehilangan anak gadisnya, Nur Bazilah Abdul Rahman, 18, dari rumah mereka di di Kampung Kubang Semang Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, pada 14 November lalu.

Karimah berkata, anaknya itu keluar dari rumah seawal jam 6.30 pagi dengan membawa sebuah beg sandang dipercayai selepas kecewa bercinta dengan seorang lelaki baru dikenali menerusi laman sembang sosial Internet.


Biarpun mengalami darah tinggi, beliau dan suaminya, Abdul Rahman Ahmad, 68, semalam, sanggup meredah perjalanan sejauh 300 kilometer dari Pulau Pinang ke Melaka semata-mata untuk mengesan anak bongsunya.

Difahamkan, anak bongsu dari lima beradik itu yang juga penuntut di sebuah kolej swasta di Ipoh, Perak, bertindak demikian selepas berlaku perselisihan dengan keluarga yang menegur perubahan dirinya selepas mengenali beberapa lelaki.


Pasangan terbabit datang ke rumah keluarga mereka di sini sejak kelmarin dan ditemani anak perempuan serta menantu mereka.

Sementara itu, menantunya, Nur Hakim Ismail, 28, mengharapkan kerjasama semua pihak atau rakan-rakan yang mengenali Nur Bazilah atau lebih mesra dengan panggilan Adik, menghubunginya di talian 012-4031985 atau hubungi balai polis berdekatan sekiranya adik iparnya itu ditemui.

Di bawah ini disertakan gambar gadis tersebut



......

BILA WAKTU BERBUKA BAGI ORANG BERMUSAFIR DENGAN KAPAL TERBANG

Jumaat, 28 Ogos 2009

FATWA AL AZHAR
MUFTI SYEIKH ATIYYAH SAQR
MEI 1997

Soalan

Seorang yang berpuasa bermusafir dengan kapal terbang, waktu terbenam matahari telah tiba mengikut tempat dia memulakan perjalanannya atau tempat dia lalui di atas udara sedangkan matahari masih belum tenggelam lagi. Adakah dia boleh berbuka sedangkan matahari belum tenggelam? Jika ia menunggu matahari tenggelam hari berpuasanya akan menjadi panjang dan menyulitkannya untuk meneruskan puasanya?


Jawapan


Allah berfirman :

ثم أتموا الصيام إلى الليل

Maksudnya : Kemudian sempurnakanlah puasa hingga ke malam (al Baqarah 187 )

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w satu ketika dalam satu perjalanan bersama dengan sahabat-sahabat baginda dalam bulan Ramadhan. Apabila matahari tenggelam, baginda meminta Bilal menyediakan makanan untuk berbuka. Apabila makanan(dan minuman) sudah tersedia baginda minum daripadanya dan berkata sambil menunjuk tangannya :

"إذا غابت الشمس من هاهنا، وجاء الليل من هاهنا فقد أفطر الصائم "

“Jika matahari terbenam dari arah ini dan malam datang dari arah ini maka telah berbukalah orang yang berpuasa”(dibolehkan untuknya berbuka).

Ayat al Quraan dan hadis ini menunjukkan bahawa berbuka adalah haram bagi orang yang berpuasa melainkan jika datang waktu malam. Waktu malam datang jika matahari telah tenggelam. Jika seorang yang berpuasa bermusafir dengan kapal terbang dan berada pada satu ketinggian, apa yang diketahui ialah matahari akan hilang daripada bumi sebelum ia (matahari) hilang daripada pandangan penumpang kapal terbang. Ini disebabkan keadaan bumi yang bulat seperti bola. Oleh itu tidak harus bagi penumpang untuk berbuka selama matahari masih dapat dilihat.

Kapal terbang adakala menghala ke arah timur maka siang akan menjadi pendek dan adakala akan menghala ke arah barat maka siang akan menjadi panjang. Apa yang diambil kira (dalam hal ini) ialah tenggelamnya matahari daripada penglihatan penumpang, tidak kira ke arah mana dituju dan tidak dikira waktu (berbuka) di kawasan yang dilalui di atasnya dan tidak juga waktu negara yang dia mulakan perjalanan.

Jika penumpang merasa sukar untuk meneruskan puasa disebabkan siang yang panjang,
dia boleh berbuka kerana kesukaran tersebut dan jika dia memilih untuk meneruskan puasanya maka dia tidak berbuka sehingga terbenam matahari.

Diterjemah oleh : Deobandi

Email : ismr_wrdy75@yahoo.com.my

......

BERBEZA TEMPAT MELIHAT ANAK BULAN

Rabu, 26 Ogos 2009

Fatwa Al Azhar
Mufti Jad al Haq Ali Jad al Haq
Zulqaedah 1309H/ 8 Oktober 1979M

1- Orang-orang Islam telah bersepakat bahawa melihat anak bulan adalah fardhu kifayah dan bukan fardhu ain. Oleh itu sudah memadai sebahagian orang Islam sahaja yang melihatnya sebagai mengamalkan apa yang dikehendaki oleh sunnah.

2- Kebanyakan fuqaha’(ahli fikah) berpendapat bahawa perbezaan tempat tinjau tidak diambil kira. Jika anak bulan sudah dilihat di mana-mana negeri orang Islam maka ia telah dilihat bagi pihak semua orang Islam,( mengikut perbezaan kawasan mereka) jika telah sampai kepada mereka tentang perkara ini dengan cara yang betul.

3- Sebahagian fuqaha’ mengambil kira tentang perbezaan tempat tinjau (anak bulan). Oleh itu penduduk sesebuah negeri hendaklah berpegang dengan (keputusan) tempat tinjau mereka.

4- Pendapat yang difatwakan dan ditetapkan oleh Muktamar Ulama’ Islam yang berlangsung di Akademik Penyelidikan Islam di Universiti Al Azhar (1386H/ 1966M) ialah perbezaan tempat tinjau tidak dikira kerana dalil tentangnya kuat dan ia bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh syarak iaitu kesatuan orang-orang Islam.

5- Apabila anak bulan telah dilihat di mana-mana negara orang Islam maka semua orang Islam di negara yang berkongsi bahagian malam dengan negara tersebut wajib berpuasa selagi tidak ada bukti yang menolak dan meragui kesahihan rukyah ini. Ini bertepatan dengan firman Allah :
فمن شهد منكم الشهر فليصمه
185. Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, Maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu.
Sabda Rasulullah :
(صموا لرؤيته)
Maksudnya : Berpuasalah apabila kamu melihatnya (bulan)

6- Jika anak bulan tidak dapat dilihat kerana apa-apa sebab atau halangan, mereka hendaklah menyempurnakan bilangan Sya’baan 30 hari bila ahli falak memutuskan bahawa anak bulan Ramadhan terbit dan terbenam sebelum terbenamnya matahari pada hari 29 Sya’baan.

7- Jika ahli falak memutuskan bahawa anak bulan Ramadhan terbit pada hari 29 Sya’baan dan ia berada seketika selepas terbenam matahari pada hari tersebut dan ia boleh dilihat ketika itu maka dalam hal sebegini kata-kata ahli falak yang dipercayai boleh diamalkan dan boleh juga disahkan kemasukan bulan Ramadhan, berdasarkan pendapat sebahagian fuqaha’ dan ketetapan yang telah dibuat oleh Akademik Penyelidikan Islam di Al Azhar.

Diterjemah oleh : Deobandi

email: ismr_wrdy75@yahoo.com.my

......

LARANGAN BERPUASA PADA SEPARUH KEDUA BULAN SYA’BAAN

Khamis, 6 Ogos 2009

Soalan :
Adakah harus berpuasa selepas separuh bulan Sya’baan? Kerana saya mendengar bahawa
Rasulullah menegah daripada berpuasa selepas separuh bulan Sya’baan?

Jawapan:
Imam Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : ( إِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ فَلا تَصُومُوا ) maksudnya : “Jika masuk pertengahan Sya’baan, janganlah kamu berpuasa”. Hadis ini disahihkan oleh Al Bani dalam Sahih Tarmizi.
Hadis ini menunjukkan tentang larangan berpuasa selepas separuh bulan Sya’baan iaitu bermula dari hari yang ke enam belas. Cuma ada hadis yang menyebut tentang keharusan berpuasa (pada hari tersebut). Antara hadis tersebut ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah beliau berkata bahawa Rasulullah bersabda:
( لا تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلا يَوْمَيْنِ إِلا رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ )
Maksudnya : “Jangan kamu mendahului bulan Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari melainkan seseorang yang selalu berpuasa maka berpuasalah”.
Ini menunjukkan bahawa berpuasa selepas separuh bulan Sya’baan adalah harus bagi orang yang adatnya selalu berpuasa. Seperti seseorang yang selalu berpuasa pada hari Isnin dan Khamis atau orang yang berpuasa selang sehari atau seumpamanya.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah beliau berkata :
( كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ ، يَصُومُ شَعْبَانَ إِلا قَلِيلا )
Maksudnya: “ Rasulullah berpuasa penuh pada bulan Sya’baan, baginda berpuasa Sya’baan kecuali beberapa hari”.
Kata Imam Nawawi, kata-kata Aisyah : ( كَانَ يَصُوم شَعْبَان كُلّه , كَانَ يَصُومُهُ إِلا قَلِيلا ) rangkap kedua iaitu Rasulullah berpuasa Sya’baan kecuali beberapa hari adalah penjelasan bagi rangkap yang pertama. Penjelasan kata-kata Aisyah "كُلّه" (dalam rangap pertama) memberi makna ‘kebanyakan(hari)nya’.
Hadis ini menunjukan tentang keharusan berpuasa selepas separuh bulan Sya’baan tetapi bagi orang yang menyambungnya dengan sebelum separuh Sya’baan.
Mazhab Syafie beramal dengan kesemua hads-hadis ini, mereka berkata : “Tidak harus berpuasa selepas separuh Sya’baan melainkan orang yang telah menjadi kebiasaannya berpuasa atau orang yang menyambungnya dengan sebelum separuh Sya’baan. Inilah pendapat yang paling sahih bagi kebanyakan mereka iaitu larangan dalam hadis adalah larangan haram.
Sesetengah daripada mereka seperti Al Ruyaani berpendapat bahawa larangan dalam hadis adalah larangan makruh bukan haram. Lihat dalam Al Majmu’ (6/399-400) dan Fathul Bari (4/129).
Kata Imam Nawawi dalam Riadusslihin (Bab larangan mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari selepas separuh Sya’baan melainkan bagi orang yang menyambungnya dengan sebelumnya atau bertepatan dengan kebiasaanya seperti berpuasa pada hari Inin dan Khamis).
Kebanyakan ulama mendhaifkan hadis larangan berpuasa selepas separuh Sya’baan. Berpandukan kepada perkara ini mereka berkata : “Tidak makruh berpuasa selepas separuh Sya’baan”.
Kata Al Hafiz Ibnu Hajar, kebanyakan ulamak berkata bahawa harus berpuasa sunat selepas separuh Sya’baan dan mereka mendhaifkan hadis yang menyebut tentang larangan tersebut. Kata Imam Ahmad dan Ibnu Ma’in : Sesungguhnya hadis itu mungkar.
Antara yang mendhaifkan hadis ini ialah Baihaqi dan Thohawi.
Ibnu Qudamah menyebut dalam kitab Al Mughni bahawa Imam Ahmad berkata tentang hadis ini: Hadis ini tidak terjaga (mahfuz) dan kami bertanya kepada Abdul Rahman bin Mahdi tentang hadis ini, beliau tidak mensahihkannya dan tidak meriwayatkan hadis ni kepada ku dan beliau menjauhinya. Kata Ahmad : Al Ala’(perawi hadis ini) adalah tsiqah (menepati ciri-ciri perawi hadis sohih) tidak ditolak hadisnya melainkan hadis ini.
Al Ala’ dia adalah Al Ala’ bin Abdul Rahman meriwayatkan hadis ini daripada bapanya daripada Abu Hurairah r.a.
Ibnu Qayyim dalam kitabnya ‘Tahzib Al Sunan’ menjawab terhadap orang-orang yang mendhaifkan hadis ini, beliau berkata: Sesungguhnya hadis ini sahih mengikut syarat Imam Muslim walaupun Al Ala’ meriwayatkan hadis ini secara bersendirian, ia tidak dianggap mencacatkan hadis ini kerana Al Ala’ seorang yang tsiqah. Imam Muslim sendiri meriwayatkan beberapa hadis Al Ala’ di dalam sahihnya yang diriwayatkan daripada bapanya daripada Abu Hurairah. Ramai perawi-perawi yang tsiqah di dalam kitab-kitab sunan meriwayatkan hadis-hadis, bersendirian daripada Rasulullah, ia tetap diterima oleh ummah dan mereka beramal dengannya.
Ibnu Qayyim kemudiannya menyebut : Sangkaan bahawa ada percanggahan dengan hadis yang mengharuskan puasa Sya’baan, sebenarnya tidak ada percanggahan antara keduanya. Hadis-hadis itu menunjukkan tentang berpuasa pada separuh Sya’baan disertakan dengan puasa sebelumnya dan tentang puasa yang menjadi kebiasaan pada separuh kedua Sya’baan. Hadis Al Ala’ pula menunjukkan larangan bagi orang yang sengaja berpuasa selepas separuh Sya’baan bukan kerana kebiasaan dan tidak disertakan dengan puasa sebelumnya.
Al Syeikh Ibnu Baz ditanya tentang larangan berpuasa selepas separuh Sya’baan beliau berkata: Hadis ini hadis yang sohih sepertimana dikatakan oleh Allamah Al Syeikh Nasiruddin Al Bani. Apa yang dimaksudkan oleh hadis ini ialah larangan untuk memulakan puasa selepas separuh Sya’baan. Bagi orang yang berpuasa lebih daripada sebulan atau sebulan penuh maka dia telah beramal dengan sunnah(Himpunan fatwa al Syeikh Ibnu Baz {15/385})
Al Syeikh Ibnu Usaimim berkata didalam Syarah Riad al Solihin: Sehingga, jika hadis ini sohih, larangan padanya bukanlah larangan haram tetapi hanya larangan makruh, sepertimana pendapat sesetengah ahli ilmu, kecuali bagi mereka yang biasa berpuasa maka mereka boleh berpuasa walaupun selepas separuh Sya’baan.

Kesimpulan daripada jawapan:
Ditegah daripada berpuasa pada separuh kedua Sya’baan sama ada mengikut pendapat yang mengatakan makruh atau yang mengatakan haram kecuali bagi mereka yang sudah menjadi kebiasaan berpuasa atau mereka yang menyambung puasa dengan puasa sebelum separuh Sya’baan.
Hikmat daripada larangan ini ialah berpuasa berterusan akan menyebabkan keletihan untuk berpuasa Ramadhan.
Jika dikatakan : Jika seseorang berpuasa daripada awal bulan ia boleh menyebabkan keletihan yang lebih berat.
Jawapannya : Orang yang telah berpuasa daripada awal bulan Sya’ban telah biasa dengan puasa maka kesulitan untuk berpuasa berkurangan.

Wallahua’lam

Sumber: http://islamqa.com/ar/ref/13726

Diterjemah oleh: Deobandi

......

BILANGAN RAKAAT TERAWIKH

Selasa, 4 Ogos 2009

Fatwa al Azhar
Syeikh Attiyah Saqr


Soalan:
Adakah Nabi solat terawikh 20 rakaat?

Jawapan:

Imam Bukhari dan lain-lain meriwayatkan daripada Aisyah r.ha bahawa Nabi tidak (solat) lebih daripada 11 rakaat pada bulan Ramadhan dan bulan-bulan lain. Baginda solat 4 rakaat, tidak perlu tanya tentang keelokan dan panjang rakaatnya, kemudian baginda solat 4 rakaat, tidak perlu tanya tentang keelokan dan panjang rakaatnya, kemudian baginda solat tiga rakaat.
Kata-kata Aisyah: “Baginda solat empat rakaat” tidak menafikan bahawa Rasulullah memberi salam setiap dua rakaat, demikian itu disebabkan sabdaan Rasulullah:
"صلاة الليل مثنى مثنى" (solat malam dua rakaat dua rakaat). Kata-katanya lagi: “Baginda solat tiga rakaat” maknanya baginda solat witir satu rakaat dan dua rakaat.
Imam Muslim meriwayatkan daripada Urwah daripada Aisyah beliau berkata : “Rasulullah selalu bersolat malam sebelas rakaat, daripadanya baginda solat witir satu rakaat”. Ada disebut dalam sesetengah riwayat hadis ini : “Rasulullah memberi salam pada setiap dua rakaat”.
Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah meriwayatkan dalam sahih kedua-duanya daripada Jabir bahawa Rasulullah bersolat bersama mereka lapan rakaat dan witir, kemudian mereka menanti baginda pada malam seterusnya tetapi baginda tidak keluar kepada mereka. Inilah dia apa yang sahih daripada perbuatan rasulullah dan selain daripada itu adalah tidak sahih.
Tetapi ada riwayat yang sahih bahawa orang-orang bersolat (terawikh) pada zaman Umar,Usman dan Ali dua puluh rakaat dan ia pendapat kebanyakan ahli-ahli feqah mazhab Hanafi, Hanbali dan Daud.
Kata Imam Tarmizi :” Kebanyakan ahli ilmu berpendapat dengan apa yang diriwayatkan daripada Umar, Ali dan lain-lain iaitu dua puluh rakaat. Pendapat ini adalah pendapat Ibnu Mubarak dan al Syafie. Beliau berkata “Beginilah aku dapati orang-orang di Mekah bersolat (terawikh) dua puluh rakaat. Imam Malik berpendapat bahawa solat terawikh tiga puluh enam rakaat tidak termasuk witir.
Al Zarqani berkata dalam syarah al Mawahib al Laduniah : “Dan Ibnu Hibban menyebut bahawa solat terawikh pada mulanya sebelas rakaat dan mereka memanjangkan bacaan ,tetapi ia menjadi berat kepada mereka lalu mereka meringankan bacaan dan menambahkan bilangan rakaat. Mereka bersolat dua puluh rakaat tidak termasuk dua rakaat dan solat witir dengan bacaan yang sederhana. Kemudian mereka meringankan bacaan dan menjadikan rakaat tiga puluh enam tidak termasuk dua rakaat dan solat witir dan perkara sebegini berterusan.
Imam al Hafiz Ibnu Hajar berkata tentang menghimpunkan antara riwayat-riwayat : “Perbezaan pendapat itu mengikut panjang dan pendeknya bacaan. Jika dipanjangkan bacaan maka dikurangkan rakaat dan begitulah sebaliknya. Al Dawadi dan lain-lain bertegas dengan pendapat ini”.
Imam al Hafiz Ibnu Hajar kemudiannya menyebut bahawa orang Madinah selalunya bersolat terawikh tiga puluh enam rakaat untuk sama dengan orang Mekah. Mereka (orang Mekah) tawaf tujuh kali selepas setiap dua terawikh (lapan rakaat), orang-orang Madinah lalu menggantikan tujuh kali tawaf dengan empat rakaat.

Diterjemah oleh: Deobandi

Email : ismr_wrdy75@yahoo.com.my

......