Oleh: Sayuti Omar
BERKATALAH Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar (gambar) kalau pilihan raya Dewan Undangan Negeri (Dun) diadakan berasingan dengan pilihan raya Parlimen ia membazirkan wang rakyat. Beliau juga mengingatkan negeri-negeri yang hendak mengadakan pilihan raya berasingan dengan pilihan raya umum terpaksa menanggung sendiri wang perbelanjaannya.
Wan Ahmad berkata demikian sebagai mengulas cadangan negeri-negeri di bawah pemerintah Pakatan Rakyat mungkin tidak bersedia untuk mengadakan pilihan raya serentak dengan pilihan raya umum. Mereka bercadang untuk mengadakan pilihan raya berasingan di peringkat negeri masing-masing. Mereka akan menggunakan kuasa mutlak mereka untuk berbuat begitu.
Kalau ini berlaku bermakna negeri-negeri Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor tidak akan membubarkan Dun masing-masing bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak Parlimen dan negeri-negeri di seluruh negara. Kita faham kenapa Pakatan Rakyat bercadang untuk berbuat demikian. Jawabnya, demi memastikan mereka terus berkuasa di negeri-negeri berkenaan.
Sebelum ini ada cakap-cakap dan cadangan kalangan pemimpim negeri Pakatan Rakyat untuk tidak sedia membubarkan Dun bagi membolehkan pilihan raya diadakan berasingan. Bagi Pakatan Rakyat tindakan itu baik sekiranya dengan cara itu mereka dapat terus mengekalkan kuasa di negeri berkenaan. Tindakan itu tidak boleh dilihat sebagai menyusah atau membazirkan wang rakyat.
Tindakan tersebut mungkin anih tetapi ia tidak pelik malahan wajar. Sebagai parti yang menguasai negeri-negeri berkenaan menjadi tanggungjawab Pakatan Rakyat mempertahankan kemenangan itu. Mereka akan melakukan apa saja selagi dihalalkan mengikut kitab dan peraturan demokrasi bagi memastikan negeri berkenaan dimiliki mereka.
Hal ini sama juga dengan pihak BN yang memegang kerajaan di beberapa negeri dan federal. BN akan menasihati Yang Diperetuan Agong membubarkan Parlimen bila mana mereka dalam keadaan selesa dan yakin menang. Selagi keadaan tidak memihak kepada mereka Parlimen tidak akan dibubarkan dan kemungkinan ia akan dibiarkan hingga tamat tempoh. Begitu juga kalau keadaan kondusif buat mereka Parlimen dan Dun dibubarkan walaupun tempoh tamatnya masih lambat lagi. Tindakan BN itu juga tidak salah dan wajar bagi menyelamatkan sisa-sisa kekuasaan mereka.
Pilihan raya berasingan itu membazirkan wang memang benar. Bukan saja pengasingan mengadakan pilihan raya tetapi beberapa kegiatan dan tindakan lain juga membazirkan wang. SPR boleh membendung mengenai pembaziran ini. Salah satu ialah menghadkan penggunaan poster dan juga bahan kempen dalam pilihan raya. Begitu juga menghadkan ruang media terutamanya tv untuk kempen parti kerajaan.
Penggunaan ruang media itu yang sepatutnya dimanfaatkan dengan segmen yang berkuliti telah disalah gunakan setiap kali menjelang pilihan raya. Ia menjadi alat kempen untuk BN. Apakah ini bukan satu pembaziran?
Anihnya juga bila setiap kali SPR membuat teguran dan kritikan ia ditujukan kepada parti Pakatan Rakyat sahaja. Semua masalah atau risiko bakal dihadapi rakyat diletak dan dicampakkan ke atas bahu oposisi? Apakah BN tidak penyumbang ke arah kemudaratan dan pembaziran itu? Rasanya orang-orang besar di SPR harus menukar kaca mata mereka daripada glass kepada kanta multi fokus.
Selalunya SPR tidak akan bercakap perkara yang sama kalau ia terkena kepada pihak BN. Seperti mana nasihat atau pandangan Wan Omar itu kenapa ia ditujukan kepada Pakatan Rakyat sahaja. Kenapa beliau tidak cuba memberi pandangan dan teguran sama terhadap BN?
Misalnya mengenai pilihan raya di Sarawak dan Sabah yang diadakan berasingan dengan pilihan raya umum. Kejadian ini bukan berlaku hanya sekarang tetapi sejak beberapa penggal dulu. Apakah itu bukan pembaziran? Ataupun SPR menggunakan air laut untuk mengurus pilihan raya itu bukannya wang?
Begitu juga kali ini Dun Sarawak akan dibubarkan paling lewat pertengahan tahun depan. Kenapa beliau tidak mencadangkan supaya Parlimen dibubarkan serentak dengan Dun Sarawak bagi diadakan pilihan raya serentak dan dengan itu menjimatkan wang? Apakah kerana Sarawak memiliki Ketua Menteri yang kaya dan dapat membiayai pilihan raya itu tanpa menggunakan wang kerajaan? Begitukah?
Bila Wan Ahmad hanya nampak segala masalah disebabkan Pakatan Rakyat, maka nyata beliau tidak berlaku adil dan saksama. Sebagai orang bertanggungjawab dan berkuasa ke atas badan bebas (SPR) beliau seharusnya bersikap profesional dan adil sepanjang masa. Kalaupun di lubuk hatinya ada rasa simpati kepada BN, tetapi janganlah pamerkan menerusi kedudukan kita selaku timbalan pengerusi, tetapi cakap atau sebut saja di jerung dapur di rumah. Biar anak beranak memahami dan mengetahui sikap buruk kita itu dan bukannya rakyat.
Pada saya bersikap tidak profesional, berat sebelah itu adalah sebahagian daripada pembaziran yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan.
sumber:www.msomelayu.blogspot.com
SPR Jangan Tunjukkan Sikap Berat Sebelah
Selasa, 23 November 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments
Catat Ulasan