HUKUM QASAR SOLAT BAGI ORANG YANG SENTIASA BERMUSAFIR

Sabtu, 20 Jun 2009

Soalan

Assalamualaikum,
Saya tinggal di sebuah bandar. Jarak di antara tempat tinggal saya dengan tempat tinggal bapa saya adalah 100 km. Saya sentiasa berulang alik antara rumah saya dan rumah bapa saya dan ia menjadi seperti rumah saya sendiri. Bapa saya sakit dan saya bertindak menjaga keluarga. Tempat kerja saya juga di bandar tempat bapa saya tinggal. Soalanya, adakah harus untuk saya mengqasarkan solat ketika pergi bekerja atau ke rumah bapa saya walaupun kadang-kadang saya tinggal bersama keluarga selama setengah minggu. Jika tidak harus demikian adakah harus untuk saya qasar solat di tengah perjalanan saya?


Jawapan

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه أما بعد:
Kebanyakan ahli ilmu berpendapat bahawa sesiapa yang bermusafir untuk perkara yang harus sejauh 4 burud (lebih kurang 88.7km) maka harus baginya untuk mengqasarkan solat. Sebahagian daripada ahli ilmu berpendapat bahawa untuk mengqasarkan solat tidak tertakluk pada jarak tertentu tetapi ia berkisar pada uruf (kebiasaan). Jika orang menganggap bahawa dia bermusafir maka harus baginya dalam perjalanan tersebut untuk dia menqasar solat atau melakukan perkara-perkara yang dibenarkan ketika bermusafir. Ini adalah kerana penetapan jarak musafir tidak disebut dalam syarak secara jelas. Oleh itu pejalanan anda dari tempat tinggal asal anda di mana terdapat di sana rumah dan isteri anda ke jarak yang disebutkan ini untuk bekerja setiap hari atau untuk menziarahi bapa, dikira musafir mengikut pendapat kebanyakan ahli ilmu.
Sesiapa yang mengambil pendapat kebanyakan ahli ilmu dalam masalah ini, hendaklah dia mengetahui bahawa seorang musafir jika dia melalui bandar yang didiami oleh isterinya maka dia mesti menyempurnakan rakaat solatnya (tidak mengqasarkannya). Berbeza jika dia melalui bandar yang didiami oleh bapa atau ibunya. Perjalanan ini tidak menyebabkan hukum musafirnya putus (iaitu dia boleh mengqasarkan solatnya dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya).
Jika seorang musafir berniat untuk mendiami sesebuah bandar lebih dari 4 hari maka dia mesti menyempurakan rakaat solatnya dengan sebab memasuki bandar tersebut. Tetapi jika dia berniat untuk tinggal kurang dari 4 hari maka dia dikira sebagai seorang yang bermusafir. Wallahu a’lam

Diterjemah oleh : Deobandi
Dari web: http://www.islamweb.net/ver2/Fatwa/ShowFatwa.php?lang=A&Id=2382&Option=FatwaId

......