LARANGAN BERPUASA PADA SEPARUH KEDUA BULAN SYA’BAAN

Khamis, 6 Ogos 2009

Soalan :
Adakah harus berpuasa selepas separuh bulan Sya’baan? Kerana saya mendengar bahawa
Rasulullah menegah daripada berpuasa selepas separuh bulan Sya’baan?

Jawapan:
Imam Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : ( إِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ فَلا تَصُومُوا ) maksudnya : “Jika masuk pertengahan Sya’baan, janganlah kamu berpuasa”. Hadis ini disahihkan oleh Al Bani dalam Sahih Tarmizi.
Hadis ini menunjukkan tentang larangan berpuasa selepas separuh bulan Sya’baan iaitu bermula dari hari yang ke enam belas. Cuma ada hadis yang menyebut tentang keharusan berpuasa (pada hari tersebut). Antara hadis tersebut ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah beliau berkata bahawa Rasulullah bersabda:
( لا تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلا يَوْمَيْنِ إِلا رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ )
Maksudnya : “Jangan kamu mendahului bulan Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari melainkan seseorang yang selalu berpuasa maka berpuasalah”.
Ini menunjukkan bahawa berpuasa selepas separuh bulan Sya’baan adalah harus bagi orang yang adatnya selalu berpuasa. Seperti seseorang yang selalu berpuasa pada hari Isnin dan Khamis atau orang yang berpuasa selang sehari atau seumpamanya.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah beliau berkata :
( كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ ، يَصُومُ شَعْبَانَ إِلا قَلِيلا )
Maksudnya: “ Rasulullah berpuasa penuh pada bulan Sya’baan, baginda berpuasa Sya’baan kecuali beberapa hari”.
Kata Imam Nawawi, kata-kata Aisyah : ( كَانَ يَصُوم شَعْبَان كُلّه , كَانَ يَصُومُهُ إِلا قَلِيلا ) rangkap kedua iaitu Rasulullah berpuasa Sya’baan kecuali beberapa hari adalah penjelasan bagi rangkap yang pertama. Penjelasan kata-kata Aisyah "كُلّه" (dalam rangap pertama) memberi makna ‘kebanyakan(hari)nya’.
Hadis ini menunjukan tentang keharusan berpuasa selepas separuh bulan Sya’baan tetapi bagi orang yang menyambungnya dengan sebelum separuh Sya’baan.
Mazhab Syafie beramal dengan kesemua hads-hadis ini, mereka berkata : “Tidak harus berpuasa selepas separuh Sya’baan melainkan orang yang telah menjadi kebiasaannya berpuasa atau orang yang menyambungnya dengan sebelum separuh Sya’baan. Inilah pendapat yang paling sahih bagi kebanyakan mereka iaitu larangan dalam hadis adalah larangan haram.
Sesetengah daripada mereka seperti Al Ruyaani berpendapat bahawa larangan dalam hadis adalah larangan makruh bukan haram. Lihat dalam Al Majmu’ (6/399-400) dan Fathul Bari (4/129).
Kata Imam Nawawi dalam Riadusslihin (Bab larangan mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari selepas separuh Sya’baan melainkan bagi orang yang menyambungnya dengan sebelumnya atau bertepatan dengan kebiasaanya seperti berpuasa pada hari Inin dan Khamis).
Kebanyakan ulama mendhaifkan hadis larangan berpuasa selepas separuh Sya’baan. Berpandukan kepada perkara ini mereka berkata : “Tidak makruh berpuasa selepas separuh Sya’baan”.
Kata Al Hafiz Ibnu Hajar, kebanyakan ulamak berkata bahawa harus berpuasa sunat selepas separuh Sya’baan dan mereka mendhaifkan hadis yang menyebut tentang larangan tersebut. Kata Imam Ahmad dan Ibnu Ma’in : Sesungguhnya hadis itu mungkar.
Antara yang mendhaifkan hadis ini ialah Baihaqi dan Thohawi.
Ibnu Qudamah menyebut dalam kitab Al Mughni bahawa Imam Ahmad berkata tentang hadis ini: Hadis ini tidak terjaga (mahfuz) dan kami bertanya kepada Abdul Rahman bin Mahdi tentang hadis ini, beliau tidak mensahihkannya dan tidak meriwayatkan hadis ni kepada ku dan beliau menjauhinya. Kata Ahmad : Al Ala’(perawi hadis ini) adalah tsiqah (menepati ciri-ciri perawi hadis sohih) tidak ditolak hadisnya melainkan hadis ini.
Al Ala’ dia adalah Al Ala’ bin Abdul Rahman meriwayatkan hadis ini daripada bapanya daripada Abu Hurairah r.a.
Ibnu Qayyim dalam kitabnya ‘Tahzib Al Sunan’ menjawab terhadap orang-orang yang mendhaifkan hadis ini, beliau berkata: Sesungguhnya hadis ini sahih mengikut syarat Imam Muslim walaupun Al Ala’ meriwayatkan hadis ini secara bersendirian, ia tidak dianggap mencacatkan hadis ini kerana Al Ala’ seorang yang tsiqah. Imam Muslim sendiri meriwayatkan beberapa hadis Al Ala’ di dalam sahihnya yang diriwayatkan daripada bapanya daripada Abu Hurairah. Ramai perawi-perawi yang tsiqah di dalam kitab-kitab sunan meriwayatkan hadis-hadis, bersendirian daripada Rasulullah, ia tetap diterima oleh ummah dan mereka beramal dengannya.
Ibnu Qayyim kemudiannya menyebut : Sangkaan bahawa ada percanggahan dengan hadis yang mengharuskan puasa Sya’baan, sebenarnya tidak ada percanggahan antara keduanya. Hadis-hadis itu menunjukkan tentang berpuasa pada separuh Sya’baan disertakan dengan puasa sebelumnya dan tentang puasa yang menjadi kebiasaan pada separuh kedua Sya’baan. Hadis Al Ala’ pula menunjukkan larangan bagi orang yang sengaja berpuasa selepas separuh Sya’baan bukan kerana kebiasaan dan tidak disertakan dengan puasa sebelumnya.
Al Syeikh Ibnu Baz ditanya tentang larangan berpuasa selepas separuh Sya’baan beliau berkata: Hadis ini hadis yang sohih sepertimana dikatakan oleh Allamah Al Syeikh Nasiruddin Al Bani. Apa yang dimaksudkan oleh hadis ini ialah larangan untuk memulakan puasa selepas separuh Sya’baan. Bagi orang yang berpuasa lebih daripada sebulan atau sebulan penuh maka dia telah beramal dengan sunnah(Himpunan fatwa al Syeikh Ibnu Baz {15/385})
Al Syeikh Ibnu Usaimim berkata didalam Syarah Riad al Solihin: Sehingga, jika hadis ini sohih, larangan padanya bukanlah larangan haram tetapi hanya larangan makruh, sepertimana pendapat sesetengah ahli ilmu, kecuali bagi mereka yang biasa berpuasa maka mereka boleh berpuasa walaupun selepas separuh Sya’baan.

Kesimpulan daripada jawapan:
Ditegah daripada berpuasa pada separuh kedua Sya’baan sama ada mengikut pendapat yang mengatakan makruh atau yang mengatakan haram kecuali bagi mereka yang sudah menjadi kebiasaan berpuasa atau mereka yang menyambung puasa dengan puasa sebelum separuh Sya’baan.
Hikmat daripada larangan ini ialah berpuasa berterusan akan menyebabkan keletihan untuk berpuasa Ramadhan.
Jika dikatakan : Jika seseorang berpuasa daripada awal bulan ia boleh menyebabkan keletihan yang lebih berat.
Jawapannya : Orang yang telah berpuasa daripada awal bulan Sya’ban telah biasa dengan puasa maka kesulitan untuk berpuasa berkurangan.

Wallahua’lam

Sumber: http://islamqa.com/ar/ref/13726

Diterjemah oleh: Deobandi

......

BILANGAN RAKAAT TERAWIKH

Selasa, 4 Ogos 2009

Fatwa al Azhar
Syeikh Attiyah Saqr


Soalan:
Adakah Nabi solat terawikh 20 rakaat?

Jawapan:

Imam Bukhari dan lain-lain meriwayatkan daripada Aisyah r.ha bahawa Nabi tidak (solat) lebih daripada 11 rakaat pada bulan Ramadhan dan bulan-bulan lain. Baginda solat 4 rakaat, tidak perlu tanya tentang keelokan dan panjang rakaatnya, kemudian baginda solat 4 rakaat, tidak perlu tanya tentang keelokan dan panjang rakaatnya, kemudian baginda solat tiga rakaat.
Kata-kata Aisyah: “Baginda solat empat rakaat” tidak menafikan bahawa Rasulullah memberi salam setiap dua rakaat, demikian itu disebabkan sabdaan Rasulullah:
"صلاة الليل مثنى مثنى" (solat malam dua rakaat dua rakaat). Kata-katanya lagi: “Baginda solat tiga rakaat” maknanya baginda solat witir satu rakaat dan dua rakaat.
Imam Muslim meriwayatkan daripada Urwah daripada Aisyah beliau berkata : “Rasulullah selalu bersolat malam sebelas rakaat, daripadanya baginda solat witir satu rakaat”. Ada disebut dalam sesetengah riwayat hadis ini : “Rasulullah memberi salam pada setiap dua rakaat”.
Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah meriwayatkan dalam sahih kedua-duanya daripada Jabir bahawa Rasulullah bersolat bersama mereka lapan rakaat dan witir, kemudian mereka menanti baginda pada malam seterusnya tetapi baginda tidak keluar kepada mereka. Inilah dia apa yang sahih daripada perbuatan rasulullah dan selain daripada itu adalah tidak sahih.
Tetapi ada riwayat yang sahih bahawa orang-orang bersolat (terawikh) pada zaman Umar,Usman dan Ali dua puluh rakaat dan ia pendapat kebanyakan ahli-ahli feqah mazhab Hanafi, Hanbali dan Daud.
Kata Imam Tarmizi :” Kebanyakan ahli ilmu berpendapat dengan apa yang diriwayatkan daripada Umar, Ali dan lain-lain iaitu dua puluh rakaat. Pendapat ini adalah pendapat Ibnu Mubarak dan al Syafie. Beliau berkata “Beginilah aku dapati orang-orang di Mekah bersolat (terawikh) dua puluh rakaat. Imam Malik berpendapat bahawa solat terawikh tiga puluh enam rakaat tidak termasuk witir.
Al Zarqani berkata dalam syarah al Mawahib al Laduniah : “Dan Ibnu Hibban menyebut bahawa solat terawikh pada mulanya sebelas rakaat dan mereka memanjangkan bacaan ,tetapi ia menjadi berat kepada mereka lalu mereka meringankan bacaan dan menambahkan bilangan rakaat. Mereka bersolat dua puluh rakaat tidak termasuk dua rakaat dan solat witir dengan bacaan yang sederhana. Kemudian mereka meringankan bacaan dan menjadikan rakaat tiga puluh enam tidak termasuk dua rakaat dan solat witir dan perkara sebegini berterusan.
Imam al Hafiz Ibnu Hajar berkata tentang menghimpunkan antara riwayat-riwayat : “Perbezaan pendapat itu mengikut panjang dan pendeknya bacaan. Jika dipanjangkan bacaan maka dikurangkan rakaat dan begitulah sebaliknya. Al Dawadi dan lain-lain bertegas dengan pendapat ini”.
Imam al Hafiz Ibnu Hajar kemudiannya menyebut bahawa orang Madinah selalunya bersolat terawikh tiga puluh enam rakaat untuk sama dengan orang Mekah. Mereka (orang Mekah) tawaf tujuh kali selepas setiap dua terawikh (lapan rakaat), orang-orang Madinah lalu menggantikan tujuh kali tawaf dengan empat rakaat.

Diterjemah oleh: Deobandi

Email : ismr_wrdy75@yahoo.com.my

......