BILANGAN RAKAAT TERAWIKH

Selasa, 4 Ogos 2009

Fatwa al Azhar
Syeikh Attiyah Saqr


Soalan:
Adakah Nabi solat terawikh 20 rakaat?

Jawapan:

Imam Bukhari dan lain-lain meriwayatkan daripada Aisyah r.ha bahawa Nabi tidak (solat) lebih daripada 11 rakaat pada bulan Ramadhan dan bulan-bulan lain. Baginda solat 4 rakaat, tidak perlu tanya tentang keelokan dan panjang rakaatnya, kemudian baginda solat 4 rakaat, tidak perlu tanya tentang keelokan dan panjang rakaatnya, kemudian baginda solat tiga rakaat.
Kata-kata Aisyah: “Baginda solat empat rakaat” tidak menafikan bahawa Rasulullah memberi salam setiap dua rakaat, demikian itu disebabkan sabdaan Rasulullah:
"صلاة الليل مثنى مثنى" (solat malam dua rakaat dua rakaat). Kata-katanya lagi: “Baginda solat tiga rakaat” maknanya baginda solat witir satu rakaat dan dua rakaat.
Imam Muslim meriwayatkan daripada Urwah daripada Aisyah beliau berkata : “Rasulullah selalu bersolat malam sebelas rakaat, daripadanya baginda solat witir satu rakaat”. Ada disebut dalam sesetengah riwayat hadis ini : “Rasulullah memberi salam pada setiap dua rakaat”.
Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah meriwayatkan dalam sahih kedua-duanya daripada Jabir bahawa Rasulullah bersolat bersama mereka lapan rakaat dan witir, kemudian mereka menanti baginda pada malam seterusnya tetapi baginda tidak keluar kepada mereka. Inilah dia apa yang sahih daripada perbuatan rasulullah dan selain daripada itu adalah tidak sahih.
Tetapi ada riwayat yang sahih bahawa orang-orang bersolat (terawikh) pada zaman Umar,Usman dan Ali dua puluh rakaat dan ia pendapat kebanyakan ahli-ahli feqah mazhab Hanafi, Hanbali dan Daud.
Kata Imam Tarmizi :” Kebanyakan ahli ilmu berpendapat dengan apa yang diriwayatkan daripada Umar, Ali dan lain-lain iaitu dua puluh rakaat. Pendapat ini adalah pendapat Ibnu Mubarak dan al Syafie. Beliau berkata “Beginilah aku dapati orang-orang di Mekah bersolat (terawikh) dua puluh rakaat. Imam Malik berpendapat bahawa solat terawikh tiga puluh enam rakaat tidak termasuk witir.
Al Zarqani berkata dalam syarah al Mawahib al Laduniah : “Dan Ibnu Hibban menyebut bahawa solat terawikh pada mulanya sebelas rakaat dan mereka memanjangkan bacaan ,tetapi ia menjadi berat kepada mereka lalu mereka meringankan bacaan dan menambahkan bilangan rakaat. Mereka bersolat dua puluh rakaat tidak termasuk dua rakaat dan solat witir dengan bacaan yang sederhana. Kemudian mereka meringankan bacaan dan menjadikan rakaat tiga puluh enam tidak termasuk dua rakaat dan solat witir dan perkara sebegini berterusan.
Imam al Hafiz Ibnu Hajar berkata tentang menghimpunkan antara riwayat-riwayat : “Perbezaan pendapat itu mengikut panjang dan pendeknya bacaan. Jika dipanjangkan bacaan maka dikurangkan rakaat dan begitulah sebaliknya. Al Dawadi dan lain-lain bertegas dengan pendapat ini”.
Imam al Hafiz Ibnu Hajar kemudiannya menyebut bahawa orang Madinah selalunya bersolat terawikh tiga puluh enam rakaat untuk sama dengan orang Mekah. Mereka (orang Mekah) tawaf tujuh kali selepas setiap dua terawikh (lapan rakaat), orang-orang Madinah lalu menggantikan tujuh kali tawaf dengan empat rakaat.

Diterjemah oleh: Deobandi

Email : ismr_wrdy75@yahoo.com.my

0 comments