WANGIAN PEREMPUAN.

Khamis, 9 Julai 2009

Fatwa Al Azhar
Syeikh ‘Atiyyah Saqr

Soalan

Adakah harus bagi perempuan untuk keluar dari rumah dengan memakai sedikit wangian bertujuan untuk menghilangkan bau peluh?

Jawapan

Diriwayat daripada Rasulullah s.a.w bahawa baginda bersabda :
أيما امرأة استعطرت فمرت على قوم ليجدوا ريحها فهى زانية ، وكل عين زانية
“Mana-mana perempuan yang memakai wangian lalu melalui orang (lelaki) supaya mereka mendapati baunya maka dia adalah penzina dan setiap mata(yang melihat kepada perempuan ajnabi dengan syahwat) adalah penzina”.
Hadis riwayat al Nasaie, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam sahih kedua-dua mereka. Diriwayat juga oleh al Hakim dan beliau berkata : Hadis ini sahih.
Hadis ini seperti yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tarmizi dengan lafaz :
كل عين زانية والمرأة إذا استعطرت فمرت بالمجلس كذا وكذا" يعنى زانية
“Setiap mata adalah penzina dan perempuan yang memakai wangian lalu melalui majlis (lelaki) dia adalah begitu dan begini iaitu penzina”. Berkata Imam Tarmizi hadis ini hadis hasan sohih.
Disebut dalam ‘al Ma’sur’ : Sebaik-baik wangian wanita ialah yang zahir warnanya dan tersembunyi baunya.
Difahami daripada ini bahawa perempuan disifatkan dengan penzina adalah perumpamaan yang ditujukan kerana memakai wangian bertujuan supaya orang lelaki dapat mencium baunya.
Jelas dan tidak seorang pun yang meraguinya bahawa perbuatan sebegini adalah perbuatan yang dikeji kerana tujuannya adalah untuk menimbulkan fitnah dan menggoda. Ini tidak akan berlaku melainkan jika wangian yang dipakai itu merebak dan berbau kuat.
Jikalau wangian itu tidak kuat atau sedikit yang tidak merebak baunya dan tidak bertujuan untuk menggoda tetapi untuk menghilangkan bau peluh maka perempuan tersebut tidak disifatkan sebagai penzina.
Walaubagaimana pun, paling tidak hukumnya tetap makruh, kerana wangian walaupun sedikit akan ada orang lelaki yang memenuhi jalan-jalan dan pasar-pasar terkesan dengannya. Lebih baik bagi wanita yang menjaga kehormatannya untuk menjauhi perkara-perkara yang boleh membangkitkan fitnah sama ada dari dekat atau jauh. Menghilangkan bau peluh boleh dilakukan dengan mandi atau membasuh tempat-tempat banyak berpeluh dan tidak perlu meletakkan wangian.
Semua ini adalah ketika ada orang lelaki lain di luar rumah atau di dalamnya. Adapun jika bersama mahram atau suami atau orang perempuan maka dia tidak ditegah untuk memakai wangian. Ini kerana tidak berlaku fitnah dengan mahram, dapat menggembirakan hati suami dan orang perempuan tidak tertarik dengannya.

......