BILA WAKTU BERBUKA BAGI ORANG BERMUSAFIR DENGAN KAPAL TERBANG

Jumaat, 28 Ogos 2009

FATWA AL AZHAR
MUFTI SYEIKH ATIYYAH SAQR
MEI 1997

Soalan

Seorang yang berpuasa bermusafir dengan kapal terbang, waktu terbenam matahari telah tiba mengikut tempat dia memulakan perjalanannya atau tempat dia lalui di atas udara sedangkan matahari masih belum tenggelam lagi. Adakah dia boleh berbuka sedangkan matahari belum tenggelam? Jika ia menunggu matahari tenggelam hari berpuasanya akan menjadi panjang dan menyulitkannya untuk meneruskan puasanya?


Jawapan


Allah berfirman :

ثم أتموا الصيام إلى الليل

Maksudnya : Kemudian sempurnakanlah puasa hingga ke malam (al Baqarah 187 )

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w satu ketika dalam satu perjalanan bersama dengan sahabat-sahabat baginda dalam bulan Ramadhan. Apabila matahari tenggelam, baginda meminta Bilal menyediakan makanan untuk berbuka. Apabila makanan(dan minuman) sudah tersedia baginda minum daripadanya dan berkata sambil menunjuk tangannya :

"إذا غابت الشمس من هاهنا، وجاء الليل من هاهنا فقد أفطر الصائم "

“Jika matahari terbenam dari arah ini dan malam datang dari arah ini maka telah berbukalah orang yang berpuasa”(dibolehkan untuknya berbuka).

Ayat al Quraan dan hadis ini menunjukkan bahawa berbuka adalah haram bagi orang yang berpuasa melainkan jika datang waktu malam. Waktu malam datang jika matahari telah tenggelam. Jika seorang yang berpuasa bermusafir dengan kapal terbang dan berada pada satu ketinggian, apa yang diketahui ialah matahari akan hilang daripada bumi sebelum ia (matahari) hilang daripada pandangan penumpang kapal terbang. Ini disebabkan keadaan bumi yang bulat seperti bola. Oleh itu tidak harus bagi penumpang untuk berbuka selama matahari masih dapat dilihat.

Kapal terbang adakala menghala ke arah timur maka siang akan menjadi pendek dan adakala akan menghala ke arah barat maka siang akan menjadi panjang. Apa yang diambil kira (dalam hal ini) ialah tenggelamnya matahari daripada penglihatan penumpang, tidak kira ke arah mana dituju dan tidak dikira waktu (berbuka) di kawasan yang dilalui di atasnya dan tidak juga waktu negara yang dia mulakan perjalanan.

Jika penumpang merasa sukar untuk meneruskan puasa disebabkan siang yang panjang,
dia boleh berbuka kerana kesukaran tersebut dan jika dia memilih untuk meneruskan puasanya maka dia tidak berbuka sehingga terbenam matahari.

Diterjemah oleh : Deobandi

Email : ismr_wrdy75@yahoo.com.my

......

BERBEZA TEMPAT MELIHAT ANAK BULAN

Rabu, 26 Ogos 2009

Fatwa Al Azhar
Mufti Jad al Haq Ali Jad al Haq
Zulqaedah 1309H/ 8 Oktober 1979M

1- Orang-orang Islam telah bersepakat bahawa melihat anak bulan adalah fardhu kifayah dan bukan fardhu ain. Oleh itu sudah memadai sebahagian orang Islam sahaja yang melihatnya sebagai mengamalkan apa yang dikehendaki oleh sunnah.

2- Kebanyakan fuqaha’(ahli fikah) berpendapat bahawa perbezaan tempat tinjau tidak diambil kira. Jika anak bulan sudah dilihat di mana-mana negeri orang Islam maka ia telah dilihat bagi pihak semua orang Islam,( mengikut perbezaan kawasan mereka) jika telah sampai kepada mereka tentang perkara ini dengan cara yang betul.

3- Sebahagian fuqaha’ mengambil kira tentang perbezaan tempat tinjau (anak bulan). Oleh itu penduduk sesebuah negeri hendaklah berpegang dengan (keputusan) tempat tinjau mereka.

4- Pendapat yang difatwakan dan ditetapkan oleh Muktamar Ulama’ Islam yang berlangsung di Akademik Penyelidikan Islam di Universiti Al Azhar (1386H/ 1966M) ialah perbezaan tempat tinjau tidak dikira kerana dalil tentangnya kuat dan ia bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh syarak iaitu kesatuan orang-orang Islam.

5- Apabila anak bulan telah dilihat di mana-mana negara orang Islam maka semua orang Islam di negara yang berkongsi bahagian malam dengan negara tersebut wajib berpuasa selagi tidak ada bukti yang menolak dan meragui kesahihan rukyah ini. Ini bertepatan dengan firman Allah :
فمن شهد منكم الشهر فليصمه
185. Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, Maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu.
Sabda Rasulullah :
(صموا لرؤيته)
Maksudnya : Berpuasalah apabila kamu melihatnya (bulan)

6- Jika anak bulan tidak dapat dilihat kerana apa-apa sebab atau halangan, mereka hendaklah menyempurnakan bilangan Sya’baan 30 hari bila ahli falak memutuskan bahawa anak bulan Ramadhan terbit dan terbenam sebelum terbenamnya matahari pada hari 29 Sya’baan.

7- Jika ahli falak memutuskan bahawa anak bulan Ramadhan terbit pada hari 29 Sya’baan dan ia berada seketika selepas terbenam matahari pada hari tersebut dan ia boleh dilihat ketika itu maka dalam hal sebegini kata-kata ahli falak yang dipercayai boleh diamalkan dan boleh juga disahkan kemasukan bulan Ramadhan, berdasarkan pendapat sebahagian fuqaha’ dan ketetapan yang telah dibuat oleh Akademik Penyelidikan Islam di Al Azhar.

Diterjemah oleh : Deobandi

email: ismr_wrdy75@yahoo.com.my

......