KOTA BARU, 26 Sept – Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata hukum hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan sama sekali tidak kena-mengena dengan masyarakat bukan Islam terutama DAP yang juga tiada sebab membantah undang-undang Islam itu dilaksanakan.
Ia kenyataan pertama beliau selepas petang tadi kepimpinan Pakatan Rakyat mengarahkan pemimpin-pemimpin parti komponen tidak membuat kenyataan isu berkenaan sehingga ia dibincangkan Rabu ini.
Sehubungan itu beliau menyifatkan DAP seperti “budak-budak kecil takutkan hantu” sedangkan hukum hudud sebenarnya lebih adil dan tidak membabitkan golongan bukan Islam.
“DAP nak keluar (gabungan pembangkang) pasal apa? Hudud untuk orang Islam dan apa hubungan dia (DAP) dengan orang Islam,” katanya kepada pemberita di kediaman Menteri Besar di sini hari ini.