PENDAPAT FUQAHA’ MENGENAI PEMBERIAN DAGING AQIQAH KEPADA ORANG KAFIR

Khamis, 11 Jun 2009

Soalan :
Ada pendapat megatakan BOLEH dan ada yang mengatakan TIDAK BOLEH memberi makan daging akikah kepada orang bukan islam. Apakah hukum memberi makan daging akikah kepada orang bukan islam?

Jawapan :

Pendapat fuqaha’ mengenai pemberian daging Aqiqah kepada orang kafir:
1. Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging aqiqah sunat atau wajib kepada bukan Islam.
2. Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging aqiqah sunat kepada bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging aqiqah wajib, seperti aqiqah yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.
3. Mazhab Hambali berpendapat harus menghadiahkan daging aqiqah sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging aqiqah wajib.
4. Semua ulama mazhab sepakat (ijma') memberi atau memberi makan daging Korban atau aqiqah wajib kepada bukan Islam adalah haram.

Ini bererti hanya ulama Mazhab Syafi’ie saja yang berpendapat daging aqiqah sunat atau wajib tidak boleh (haram) diberi atau diberi makan kepada bukan
Islam. Majoriti ulama lainnya berpendapat harus memberi mereka makan daging aqiqah sunat, tidak harus jika aqiqah wajib. Imam Nawawi pula yang bermazhab Syafi’ie dalam kitab al Majmuk syarah al Muhazzab dalam bab al udhiyah menjelaskan bahawa, apa yang dikehendaki oleh mazhab ialah harus memberi mereka (kafir zimmi) makan daripada daging korban sunat tetapi tidak yang wajib wallahu a’lam.
Dalam konteks Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada penganut pelbagai agama, pendapat majoriti ulama yang mengharuskan orang bukan Islam diberi atau diberi makan daging aqiqah sunat lebih baik diterima pakai.

Ini adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat bukan Islam bahawa Islam memang ada sistem yang mesra bukan Islam dan dapat memelihara perhubungan antara agama. Wallahu a'lam.

1 comment

Mohd Shahnom Ismail berkata...

Hukum Daging Korban Berkaitan Dengan Orang Bukan Islam
Keputusan:

Daging korban tatawwu" (sunat) adalah sunat dimakan oleh orang yang berkorban, diberi hadiah dan disedekahkan kepada fakir miskin. Adapun untuk orang kafir di Malaysia maka hukumnya adalah harus akan tetapi keutamaan adalah kepada golongan miskin di kalangan orang Islam

Status Penwartaan: Tidak Diwartakan

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/hukum-daging-korban-berkaitan-dengan-orang-bukan-islam

19 November 2010 8:02 PTG